Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meningkatkan peruntukan kepada Sekretariat Muafakat FELDA Pahang dan Sekretariat Perantau Anak Pahang kepada keseluruhan RM9.44 juta bagi tahun 2027 berbanding RM6 juta tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu bertujuan memperkukuh pembangunan komuniti FELDA, memperluas program kebajikan serta memastikan hubungan anak Pahang di perantauan dengan negeri kelahiran terus terpelihara.
Menurut beliau, sebanyak RM7 juta diperuntukkan kepada Sekretariat Muafakat FELDA Pahang bagi tahun hadapan, meningkat RM2 juta berbanding RM5 juta pada 2026.
“Kerajaan Negeri juga tidak melupakan sumbangan dan peranan komuniti FELDA serta anak-anak Pahang di perantauan.
“Untuk itu, peruntukan untuk Sekretariat Muafakat FELDA Pahang ditingkatkan kepada RM7 juta, berbanding RM5 juta pada tahun 2026, bagi mempergiat lagi program pembangunan komuniti, kerjasama dan kebajikan warga FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan kepada Sekretariat Perantau Anak Pahang turut ditingkatkan kepada RM2.44 juta berbanding RM1 juta pada tahun ini, iaitu pertambahan sebanyak RM1.44 juta.
“Bagi Sekretariat Perantau Anak Pahang pula, peruntukan ditingkatkan kepada 2.44 juta ringgit, berbanding 1 juta ringgit pada tahun 2026.
“Peningkatan ini bertujuan memperkukuh penyampaian maklumat, memperluas program kebajikan serta memastikan anak-anak Pahang di perantauan terus mengekalkan hubungan dengan negeri kelahiran dan menyumbang kepada kemajuannya,” katanya.
Secara keseluruhan, peruntukan kepada kedua-dua sekretariat berkenaan meningkat sebanyak RM3.44 juta, dengan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang mencatatkan kenaikan 40 peratus, manakala Sekretariat Perantau Anak Pahang meningkat 144 peratus berbanding tahun 2026.
Peningkatan itu mencerminkan tumpuan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan komuniti FELDA serta usaha memperkukuh jaringan hubungan dan kebajikan anak-anak Pahang yang menetap di luar negeri. -PAHANGMEDIA

