KUANTAN, 21 FEBRUARI 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan, 4, atas pemergian anak mereka, pagi tadi.
Muhammad Athif Fahri atau ‘baby’ Athif pada Jun dua tahun lalu pernah menerima kunjungan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bagi menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang untuk membiayai kos rawatan penyakit Spinal Muscular Altrophy (SMA) Type 1 yang dihidapinya.
“Saya berharap semoga keluarga Allahyarham ‘baby’ Athif terus tabah dan bersabar atas kehilangan insan yang disayangi.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para syuhada. Al-Fatihah,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, anak pasangan Mohd Farhan Mohd Sait, 37, dan Nur Azizah Zamri, 35, itu dikenalpasti menghidap penyakit genetik yang jarang berlaku, SMA Type 1 selepas beberapa bulan dilahirkan.
Adik Athif bergantung kepada pengambilan ubat setiap hari dengan kos RM40,000 sebotol dan telah mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pahang bagi menampung kos dana pembelian ubat Genetik Zolgensma bernilai RM9.7 juta untuk proses rawatan.-PAHANGMEDIA

