Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 19 FEBRUARI 2025: Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak RM1,031,561 kepada 41 penerima pelbagai kategori bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerima diingatkan untuk menggunakan sumbangan diterima sebagaimana permohonan masing-masing.
“Tuan-tuan dan puan-puan, gunakan duit kerajaan yang dapat pada hari ini untuk seperti mana yang dipohon. Sebab ini adalah duit kerajaan, belanja sebagaimana yang dipohon,” katanya ketika berucap bersempena majlis penyampaian cek sumbangan Kerajaan Negeri, di sini hari ini. Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri terbabit merupakan duit rakyat hasil dari kutipan cukai, kompaun dan sebagainya yang memboleh Kerajaan Negeri memperoleh kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut.
“Duit yang dapat pada hari ini, ini adalah yang kita uruskan (hasil) kecekapan penguaatkuasa, kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri, bila tak bayar hasil tanah kita hantar surat peringatan dan sebagainya… penerokaan tanah haram kita kuatkuasakan,” katanya.
Sementara itu, penerima, Hamdan Hasan, 65, berkata, sumbangan yang diterima hari ini boleh digunakan untuk menampung kos rawatan pembedahan pertamanya yang menghidap sakit jantung.
Kata bapa empat anak dan merupakan pesara kerajaan itu, dia disahkan menghidap sakit jantung sejak setahun yang lalu.
“Saya ucapkan terima kasih banyaklah Kerajaan Negeri kerana meluluskan permohonan bantuan. Dapat digunakan untuk rawatan saya. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mohd Fahami Osman, 35, pula berkata, sumbangan yang diterima hari ini digunakan untuk menampung kos rawatan buat isterinya yang patah tangan selepas terlibat dalam kemalangan pada Ogos tahun lalu.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan macam ini boleh sedikit sebanyak perbelanjaan untuk isteri,” kata bapa dua anak itu. -PAHANGMEDIA

