Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 FEBRUARI 2025 : Guru dan ibu bapa diseru untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan generasi muda mendapat pendidikan berkualiti sekali gus membentuk menjadi insan yang berilmu, berakhlak, dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, berkata pendidikan merupakan asas utama perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pahang akan terus berusaha memastikan sistem pendidikan negeri ini kekal inklusif dan berkualiti tinggi.
“Saya menyeru semua pihak, termasuk guru-guru dan ibu bapa, agar terus bekerjasama dalam mendidik generasi muda supaya mereka menjadi individu yang bertanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB. Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ke Majlis Ramah Mesra Warga Pendidik Sekolah-Sekolah Tamil dan Ketua-Ketua Panatia Bahasa Tamil Sekolah Menengah Negeri Pahang bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa dengan semangat perpaduan yang kukuh, Negeri Pahang dapat terus maju sebagai negeri yang aman, makmur, dan harmoni.
YB Dato’ Sabariah dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada 250 guru yang hadir dalam program berkenaan sekali gus berharap agar pertemuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Semoga usaha dalam mendidik anak-anak kita mendapat keberkatan dan membawa manfaat kepada seluruh masyarakat, negeri, serta negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

