Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 FEBRUARI 2025 : Seramai 31 atlet Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Pahang menerima insentif hampir RM300,000 daripada Kerajaan Negeri Pahang setelah mencapai kejayaan pada Kejohanan Para Sukma Ke-21 Sarawak 2024.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif ini sebagai penghargaan kepada atlet yang telah mengharumkan nama negeri selepas meraih 29 pingat pada kejohanan berkenaan.
“Emas kita bagi RM6,000, perak RM3,000, dan gangsa RM2,000 seorang atau sepasukan. Jumlah keseluruhannya hampir RM 300,000.

“Kerajaan Negeri, dimana saya kata kita akan bantu dimana perlu dan kita tambah baik kemudahan-kemudahan.
“Dan yang lebih penting pencapaian kita pada tahun lepas agak lebih baik daripada tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan insentif kepada semua atlet pada Majlis Penyerahan Insentif Para SUKMA 2024 Kontinjen Pahang di Hotel Sri Manja.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; dan Ketua Kontinjen Para SUKMA Negeri Pahang, YB. Tuan Khaizulnizam Mohammad Zuldin.

Tambah beliau, kejayaan para atlet ini bukan sekadar meraih pingat dan penghargaan tetapi juga sebagai tanda komitmen mereka dalam mengharumkan nama Pahang.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua para atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Negeri Pahang dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
“Daripada Exco Sukan, Ketua Kontinjen, Penolong, Pengarah Sukan Negeri, Pengarah Belia, Pengarah Kebajikan Masyarakat, Pengarah Jabatan Pendidikan dan khas para atlet sendiri kerana komitmen dan mereka semua komited,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan peningkatan pingat dapat dicapai kontinjen Pahang semasa kejohanan Ke-22 di Selangor pada 2026 kelak.
“InsyaAllah pada tahun depan kita akan turut terlibat dalam kejohanan SUKMA yang Ke-22 iaitu di Selangor dan saya berharap pingat kita akan bertambah daripada sebelum ini,” katanya.
Kontinjen Pahang telah mencapai keseluruhan 15 pingat emas, lima pingat perak, dan sembilan pingat gangsa pada kejohanan di Sarawak. -PAHANGMEDIA

