Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 14 FEBRUARI 2025 : Sambutan Aidilfitri bagi seorang penerima Rumah Makmur Bandar Jengka, di sini, lebih bermakna tahun ini apabila dia dan keluarganya dapat menyambutnya di rumah baharu.
Penerima terbabit, Mohd Khairul Azhari Abdul Aziz, 38, isteri dan dua anaknya sangat teruja dan menzahirkan rasa syukur apabila impian memiliki rumah sendiri sejak 18 tahun lalu akhirnya tercapai.

“Saya sudah bekerja di Bandar Jengka sebagai anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak 18 tahun lalu di mana selama 13 tahun saya berulang dari Temerloh (tempat asal) dan selama lima tahun saya menyewa di bandar ini dengan kadar sewa RM300 sebulan.
“Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat juga saya membeli dan memiliki rumah di sini. Gembira, Alhamdulillah. Hari raya tahun ini paling bermakna, InsyaAllah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Bandar Jengka dan Pelancaran Rumah Rakyat Pahang Fasa 5, di Perumahan PR1MA Pahang dan rumah Makmur Bandar Jengka, di sini hari ini.

Seorang lagi penerima Rumah Makmur, Mohd Imran Ismail, 39, berkata, selama tujuh tahun dia dan keluarganya terpaksa menyewa rumah sebelum berjaya memiliki rumah sendiri.
“Saya bercadang untuk pindah masuk ke rumah baharu ini sebolehnya sebelum Aidilfitri. Memang sudah lama menantikan saat ini.
“Dengan adanya Rumah Makmur yang diperkenalkan Kerajaan Negeri ini memang sangat membantu dalam meringankan beban kewangan bagi saya untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) kategori masyarakat Orang Asli, Jafry A/L Jeremy, 35, pula berkata, menerima rumah percuma pemberian Kerajaan Negeri Pahang dapat memberikan kehidupan yang lebih selesa buat dia, isteri dan dua anaknya.
“Sebelum ini saya terpaksa tinggal beramai-ramai dengan ahli keluarga lain di rumah mertua di dalam rumah papan. Saya bersyukur diberikan rumah yang sangat selesa untuk saya dan keluarga.
“Saya sangat berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang kerana sangat prihatin terhadap golongan masyarakat seperti kami,” katanya yang berasal dari Kampung Paya Besar Kertau, Chenor, di sini. -PAHANGMEDIA

