KUANTAN 21 DISEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengingatkan semua mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar tidak tergesa-gesa pulang ke rumah masing-masing berikutan terdapat kemungkinan berlakunya gelombang kedua dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan kemungkinan gelombang kedua berlaku minggu depan…jadi jangan balik terlalu cepat. Kita perlu bersabar dan teruskan berdoa agar perkara ini tidak berlaku.
“Kita lakukan solat hajat dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dijauhi daripada musibah,” titah Paduka Baginda ketika berangkat menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan kurniaan di PPS Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, di sini semalam.

Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana keadaan banjir di negeri ini masih terkawal berbanding bencana yang melanda negara jiran seperti di Sumatera dan Aceh ketika ini. -PAHANGMEDIA

