Foto: Muhammad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
BENTONG, 15 FEBRUARI 2025: Komuniti FELDA perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menangani isu keihatan mental dalam kalangan masyarakat khususnya di kawasan tanah rancangan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong program yang menitikberatkan kesihatan mental rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong inisiatif seperti ini dan berharap program advokasi komuniti seperti ini akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan, terutamanya di tanah rancangan FELDA.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menyokong usaha mewujudkan pasukan sokongan kesihatan mental komuniti agar masyarakat, khususnya warga FELDA, tidak terpinggir dalam memahami dan mengetahui isu-isu berkaitan kesihatan mental melalui maklumat dan latihan yang disampaikan oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) seterusnya dapat membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental mndapatkan intervensi dan rawatan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Minda Sihat Siri 5 Tahun 2025: Karnival Advokasi Komuniti Gen21 bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Feldajaya Mempaga, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM atas inisiatif dan usaha dalam menjayakan program terbabit.
“Ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.
“Tidak dilupakan, ucapan tahniah juga kepada Persatuan Penduduk Generasi Baharu Blok 2 Felda Mempaga 1 Bentong (GEN21) yang baru sahaja ditubuhkan pada September tahun lalu namun sudah mampu melaksanakan program sebesar ini di kawasan FELDA,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

