Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 24 JANUARI 2025: Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan pelaksanaan larangan sepenuhnya terhadap penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin bermula 1 Julai ini.
Keputusan terbabit diambil sebagai langkah proaktif dalam usaha melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik di negeri ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, larangan penggunaan bekas makanan polisterin sebenarnya telah diperkenalkan sejak 2019.
“Namun, masih terdapat segelintir pihak yang tidak mematuhi peraturan ini. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah sebulat suara bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan larangan ini secara menyeluruh bermula Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan melancarkan kempen kesedaran awam berkaitan larangan tersebut di seluruh negeri secara berperingkat di mana pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan pemeriksaan dan memberi notis peringatan kepada premis yang masih menggunakan polisterin.
“Peniaga di seluruh negeri ini, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, digalakkan menggunakan bekas makanan yang lebih selamat seperti bahan biodegradasi atau bekas kertas.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar larangan ini selepas tarikh penguatkuasaan,” ujarnya.
Beliau justeru itu menyeru semua pihak termasuk pengguna, peniaga, dan pengusaha industri agar bersatu dalam usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Kami percaya, dengan sokongan semua pihak, negeri Pahang dapat menjadi model negeri hijau yang mengutamakan kemampanan.
“Langkah ini diambil demi melindungi alam sekitar dan kesihatan rakyat, sejajar dengan usaha untuk mengurangkan sisa plastik serta mempromosikan penggunaan bahan alternatif yang lebih mesra alam,” tambahnya. -PAHANGMEDIA

