Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 24 JANUARI 2025: Pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid di bawah pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka dinasihatkan supaya tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan menyebar fitnah.
Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, Tuan Haji Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, tindakan berkenaan menyalahi Enakmen Pentadbiran undang-Undang Islam 1991 Kaedah 4 (2) Kaedah-Kaedah Masjid 1998.
Katanya, di bawah enakmen berkenaan, masjid tidak boleh dijadikaan sebagai tempat berkempen politik atau perbincangan politik kepartian atau apa-apa isu yang boleh membawa kepada perpecahan ummah.
“Dan juga berkaitan dengan Seksyen 13 Enakmen Kesalahan jenayah Syariah 2013 iaitu melanggar titah Tuanku supaya tidak menjadikan masjid tempat berpolitik.
“Ini saya tegaskan kerana telah berlaku situasi pegawai masjid di bawah pentadbiran PAID Jengka yang melanggar Enakmen Pentaddbiran Undang-Undang Syariah Negeri Pahang,” katanya.
Beliau membuat kenyataan berkenaan menerusi satu hantaran video hari ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu juga, Tuan Haji Nik Ibrahim berharap agar masjid dijadikan tempat perpaduan dan mengelakkan elemen-elemen kebencian dan fitnah dalam kalangan umat Islam.
“Bersama-samalah kita menjaga keharmonian masjid sebagai suatu syiar yang utama kepada umat Islam untuk diwujudkan elemen perpaduan ummah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

