Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 JANUARI 2025 : “Selama ini saya hanya tahu bantuan dari JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan zakat dari MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat resam Negeri Pahang) sahaja,” ujar Wazid Wahab, 48, salah seorang penerima bantuan bersempena Ziarah Makmur yang diadakan di Felda Keratong, di sini, semalam.
Program Ziarah Makmur merupakan salah satu program yang diadakan bersempena program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang yang menjadikan Bandar Tun Razak Rompin sebagai destinasi pertama.

Wazid berkata, kedatangan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan agensi Kerajaan Negeri Pahang sekali gus membuka mata masyarakat tentang pelbagai bentuk bantuan yang disediakan buat rakyat negeri ini.
“Dengan kedatangan mereka ke sini, kita dapat tahu ada banyak bantuan dari Kerajaan Negeri. Kalau tidak kita tidak tahu.

“Dengan kedatangan mereka, selain dapat bantuan, dapat juga maklumat lanjut tentang e-Kasih dan cara bagaimana untuk mohon. Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang kerana sudi datang ke rumah menziarahi anak saya,” katanya yang memiliki seorang anak berusia 14 tahun yang terlantar selepas disahkan menghidap sakit saraf sejak lahir.
Katanya lagi, dia turut merakamkan terima kasih atas kunjungan dan sumbangan yang diberikan di mana dengan sumbangan tersebut dapat digunakan untuk kegunaan harian dan keperluan anaknya itu.

Bagi seorang lagi penerima, Haslina Johari, 45, kunjungan Kerajaan Negeri ke rumahnya sedikit sebanyak membantu dirinya untuk membuat permohonan bantuan disediakan Kerajaan Negeri buat anaknya yang menghidap sakit jantung berlubang.
“Anak saya ada terima bantuan JKM sahaja. Selepas kedatangan mereka, rupanya ada lagi bantuan yang boleh mohon.
“Saya ada mohon untuk dapatkan stroller (kereta sorong) yang sesuai untuk tahap kesihatan anak saya. Stroller yang besar. Mereka ada beri penerangan tentang bantuan dimohon. Kita tak tahu sangat tapi mereka ada cakap dan bantu,” katanya. -PAHANGMEDIA

