Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 JANUARI 2025 : Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri Pahang di Pekan pada 8 Ogos 2023.
Mengikut pendakwaan tertuduh, Abdul Rashid Mohd Yusof, 64, dan Abdilah Mohd Salleh, 63, dituduh tanpa kebenaran yang sah menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang di Kampung Permatang Perawan, Pekan pada 5.15 petang.
Kedua-dua tertuduh menceroboh tanah di kawasan berkenaan bagi menjadikan lokasi simpanan stok, dan satu lagi lokasi dijadikan aktiviti pencabutan dan pengekstrakan bahan batuan.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Shakir Hussain a/l Khursed Ibrahim mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Taqiuddin Azizan.

Terdahulu Taqiuddin memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh, bagaimana pun Shakir Hussain memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan kes ini telah berlaku pada 2023 dan komitmen kesemua tertuduh terjejas.
Shakir Hussain berkata tertuduh pertama, Abdul Rashid yang juga Pengarah Urusan syarikat melombong pasir juga telah mengeluarkan RM180,000 sebagai jaminan bagi mengeluarkan dua jengakut dan sembilan lori yang disita pada operasi berkenaan, manakala, tertuduh kedua, Abdilah pula kehilangan sumber kewangan memandangkan kenderaan yang disita adalah milik tertuduh.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang kepada kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 27 Februari depan bagi sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibebaskan selepas membayar jaminan. -PAHANGMEDIA

