Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 23 JANUARI 2025 : Bandar Tun Razak, di sini menjadi destinasi pertama yang dipilih bagi penganjuran julung kali program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang, hari ini.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob berkata, program berkenaan merupakan satu pembaharuan yang diilhamkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, YAB. Menteri Besar Pahang meminta penjawat awam sendiri turun berjumpa dengan rakyat bagi menyelesaikan secara langsung masalah yang dihadapi.

“Kalau tengok pendekatan kita pada hari ini ialah kita nak selesaikan masalah ini secara cepat. Mana yang boleh kita selesai segera, saya minta jabatan selesaikan.
“Tak perlu tunggu dah, tak perlu birokrasi yang panjang dan sebagainya. Yang mana kita boleh selesaikan, kita selesaikan terus.
“Yang mana yang tidak dapat diselesaikan terus, disebabkan semua ketua-ketua jabatan ada (turut serta) kita beri peluang untuk semua orang bertemu dengan ketua jabatan itu sendiri untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya selepas sesi Townhall yang diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak Felda Keratong 4, di sini hari ini.
Sesi Townhall berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Daerah Rompin, Yang Berbahagia Tuan Muhammad Hatta Kassim selaku moderator.

Majlis turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YH. Dato’ Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim; dan barisan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri ini.
Selain menganjurkan sesi Townhall, turut diadakan program Ziarah Makmur dan pameran oleh beberapa agensi kerajaan negeri ini.
YB. Dato’ Sri Haji Zulkifli dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang kerana memberikan kepercayaan kepada penjawat awam untuk menganjurkan program dengan pendekatan baharu itu.
“Kita harap cara ini akan lebih berkesan supaya pengarah-pengarah jabatan yang hadir boleh dengar sendiri dan terus mengambil langkah untuk membantu rakyat dengan masalah yang dihadapi,” ujarnya.
Program berkenaan diadakan di 11 daerah negeri ini dengan daerah seterusnya adalah di Jelai, Lipis pada bulan hadapan dan dijangka akan berakhir di Cameron Highland menjelang hujung tahun ini.-PAHANGMEDIA

