Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 22 JANUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus mengukuhkan lagi hubungan baik dengan pengamal media negeri ini dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan telus kepada rakyat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau amat menghargai usaha dan kerjasama antara pengamal media dan pihak Kerajaan Negeri Pahang dalam perkembangan serta pembangunan negeri ini.

“Saya mengucapkan terima kasih… Selama tiga tahun saya menjadi Menteri Besar, saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada media dan saya harap kerjasama ini kita akan teruskan untuk masa yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Media Darul Makmur 2025 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, di sini malam tadi.
Hadir sama , Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang YH. Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.

Hampir 200 tetamu terdiri daripada pengamal media konvensional dan media baru hadir ke Majlis Media Darul Makmur 2025 anjuran Pejabat Menteri Besar Pahang.
Penganjuran itu merupakan penganjuran kali ketiga dianjurkan sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2021 di mana pada kali ini, tetamu yang hadir ceria mengenakan pakaian bertemakan Blue Denim.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, kehadiran pengamal media ke majlis terbabit memperlihatkan keakraban hubungan antara media dan Kerajaan Negeri.

“Saya secara terus terang sangat berterima kasih kerana saya tidak mempunyai masalah dengan media. Rakan-rakan media sangat membantu dan memahami.. dan ini saya rasa sangat terhutang budi.
“Terima kasih banyak kerana media Pahang memahami antara satu sama lain. Media juga sentiasa mengikuti apa yang saya cadangkan dan itu menyebabkan media ini dekat dengan kita,” ujarnya.
Selain jamuan makan malam, majlis turut diserikan lagi dengan cabutan bertuah, persembahan nyanyian serta penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Boling Media Darul Makmur 2025.- PAHANGMEDIA

