Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 22 JANUARI 2025 : Bantuan berterusan yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang membuktikan keadaan kewangan negeri ini yang kukuh dengan situasi politik yang stabil.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail juga berkata, ia juga sekali gus membuktikan kerajaan sedia ada telah menjalankan tugas mereka dengan baik.
“Alhamdulillah Kerajaan Negeri diberikan kedudukan kewangan yang agak baik. Kerajaan Negeri lagi sekali dapat menyumbang dan membantu mereka yang memerlukan.
“Minggu lepas kita ada buat perkara sama. Pada hari ini lebih RM585,000 diberikan dan ia juga merupakan satu jumlah yang agak banyak,” katanya ketika berucap bersempena majlis penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), KotaSAS di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man.
Katanya lagi, dengan keadaan politik yang sangat minima membolehkan pihak Kerajaan Negeri Pahang memberi tumpuan dalam menjalankan tugas dengan baik bagi meningkatkan tahap kewangan negeri sekali gus dapat membantu rakyat.
“Sebab itulah kalau tuan-tuan dam puan-puan tengok, kalau ada permainan fitnah untuk memburukkan Kerajaan Negeri dan sebagainya, saya harap tuan-tuan dan puan-puan jangan percaya kerana yang pentingnya adalah melihat prestasi Kerajaan Negeri.
“Kalau prestasi itu elok, maknanya negeri itu diurus dan ditadbir dengan baik. Kalau dah tiga tahun berturut-turut mencapai RM1 bilion, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan ini bermakna ia diuruskan dengan baik.
“Kalau kerajaan tidak menjalankan tugas, tiada bantuan dan tiada bonus… kita boleh tukar kerajaan. Tapi kalau kerajaan itu menjalankan tugas… bantuan dapat banyak dan sebagainya, kita wajib mengekalkan kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerima sumbangan, Setiausaha Kelab Anak Muda Bandaraya Kuantan, Encik Haziq Hafiz Himas, 27 berkata, sumbangan kewangan yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang membantu kelabnya untuk menjalankan program Pesta Memancing Kampung Razali bersempena sambutan Hari Malaysia.
“Terima kasih Kerajaan Negeri atas sumbangan yang diberikan. Dengan sumbangan ini juga memberikan suntikan semangat untuk kelab kami melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada anak muda di daerah ini,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Puan Norliana Remlan, 40, dengan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung untuk menampung kos perubatan penyakit Psiorosis Chronic yang dihidapinya sejak berusia 11 tahun.
“Saya mohon bantuan ini sejak tahun lepas dan Alhamdulillah, dengan keadaan ekonomi sekarang, bantuan ini dapat saya gunakan untuk membeli ubat-ubatan bagi merawat penyakit saya ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

