Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 21 JANUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar terus bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan penuh komitmen.
Titah Paduka Baginda, kepercayaan yang diberikan bukanlah sekadar amanah, tetapi tanggungjawab besar untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri ini terus berkembang.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa setiap dasar dan keputusan yang diambil perlulah berasaskan kepentingan rakyat.
“Dengarlah suara mereka, peka kepada masalah dan keperluan mereka. Rakyat adalah tunjang kekuatan negeri dan adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka hidup dalam keadaan aman, makmur, dan sejahtera,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelanjutan Tempoh Pelantikan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Paduka Baginda dalam titah turut menekankan agar setiap ahli majlis sentiasa meletakkan kepentingan Negeri Pahang di hadapan dan kesetiaan kepada negeri ini juga haruslah mengatasi kepentingan yang lain.
“Pahang adalah tanah tumpah darah kita, dan segala usaha serta pengorbanan haruslah ditumpukan untuk kemajuan negeri dan kerajaan KDPB Sultan Pahang ini,” titah baginda.
Baginda turut menyeru semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri untuk mengambil langkah proaktif bagi memudahkan urusan birokrasi rakyat.
“Proses yang cekap dan mesra rakyat akan membantu mengurangkan beban mereka serta menunjukkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah diatas peningkatan kutipan hasil yang merupakan bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kemajuan ekonomi negeri.
“Pencapaian ini merupakan bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri dan usaha gigih dalam memastikan kemajuan ekonomi negeri. Bagaimanapun, kita memerlukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDi) untuk terus memperkukuh kedudukan ekonomi negeri. Saya berharap agar usaha menarik pelabur asing dapat dipertingkatkan demi manfaat bersama rakyat dan negeri,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

