Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 JANUARI 2025 : Pengunjung Pantai Hiburan di Kuala Rompin dinasihatkan lebih berhati-hati berikutan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o’ War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ hari ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan Pegawai Pertahanan Daerah Rompin, Leftenan (PA) Muhamad Izam Ismail, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kehadiran spesis berkenaan oleh pekerja pembersihan Alam Flora pagi tadi.

“APM daerah Rompin telah menerima aduan dari petugas Alam Flora berkaitan obor-obor beracun yang terdampar di sepanjang Pantai Hiburan.
“Petugas lifeguard di Pantai Hiburan telah membuat pemantauan dan menasihati pengunjung untuk tidak menyentuh obor-obor tersebut bagi mengelakkan daripada terkena sengatan.
“Petugas APM daerah Rompin juga mengambil inisiatif bagi mengutip obor-obor tersebut di sekitar kawasan yang berdekatan yang kehadirannya lebih banyak berbanding tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kehadiran spesis obor-obor dengan warna kebiruan lutsinar ini disebabkan oleh fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi.
Menurut beliau, pihak Pejabat Perikanan Daerah Rompin juga telah mengeluarkan notis kepada orang awam supaya tidak menyentuh obor-obor tersebut bagi mengelakkan daripada terkena sengatan.
Spesis ini mempunyai sel-sel penyengat berbisa yang terletak di bahagian tentakel, berfungsi untuk menangkap mangsa sebagai mekanisme pertahanannya, dan sengatannya adalah sangat menyakitkan, selain itu obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika menyentuhnya secara terus. -PAHANGMEDIA

