Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 14 JANUARI 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menasihatkan agar pemandu berhati-hati ketika memandu terutamanya dalam keadaan hujan dan gelap.
Paduka Baginda turut mengingatkan agar pemandu tidak melakukan perjalanan di tengah malam sebaliknya memilih melakukan perjalanan pada waktu siang.
“Jalan kampung ini lagi gelap lah. Kalau boleh kita nasihat supaya janganlah memandu tengah-tengah malam. Kalau boleh biarlah siang hari sahaja.
“Kita kena hati-hati memandu tengah malam… berhenti bila setengah jam berasa letih. Keluar kereta lakukan renggangan, minum kopi atau apa yang patut. Mudahan ia dapat menyegarkan kita,” titah Baginda kepada pemberita selepas berkenan berangkat menyantuni mangsa kemalangan lima sekeluarga di Kampung Sepauk, di sini hari ini.

Keberangkatan Baginda diiringi Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Paduka Baginda turut menasihatkan kepada pemadu agar membuat pemeriksaan ke atas kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan.
“Kadangkala keadaan kereta itu tidak baik tapi kita paksa juga kerana hendak bawa keluarga ke sesiapa sekali pun ke satu destinasi. Saya ingatkan periksa dahulu,” titah Baginda lagi.

Baginda dalam pada itu menzahirkan keprihatinan terhadap aduan yang diterima mengenai kekurangan lampu di lebuh raya, terutama di selekoh-selekoh tertentu seperti di Lebuhraya Karak-Kuantan.
“Saya dimaklum ada lah suara yang saya dengar itu, kadangkala kekurangan lampu khususnya di selekoh di Lebuhraya Karak.
“Saya pun nak pergi periksalah dulu dan tak boleh kata di mana. Inilah antara komen-komen yang saya dengar dan mereka minta saya suarakan,”
Sebelum itu, Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada 100 penerima golongan asnaf bertempat di Masjid Nenasi, di sini.
Sementara itu, waris mangsa, Semek Muda, 62, menzahirkan penghargaan atas kunjungan Paduka Baginda Tuanku ke rumahnya di Kampung Sepauk, di sini hari ini.
“Terima kasih atas kunjungan dan kurniaan Tuanku. Tuanku berpesan supaya bersabar dan berserah segalanya kepada Allah SWT.
“Anak saya (Rahimah Awang Muda) seorang yang baik. Arwah baik dengan semua orang, apatah lagi dengan saya dan adik beradiknya yang lain,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, lima sekeluarga maut dalam kejadian kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 65, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan, Sabtu lalu.
Kejadian terbabit mengorbankan pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Hamzah Zahari, 52, dan isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, serta tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah, 10; Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4. -PAHANGMEDIA

