Oleh: Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 13 JANUARI 2025: Seramai 51 peserta Tanam Semula Komersial (TSK) di Kampung Orang Asli Kampung Arung kini menikmati peningkatan hasil pendapatan selepas pengambilalihan pengurusan ladang oleh Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) bermula September tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah, berkata pendapatan peserta meningkat secara konsisten bermula daripada RM510 pada bulan pertama iaitu September, kepada RM719 pada Oktober, RM998.88 pada November, dan digenapkan RM1,000 bagi bulan Disember.

“Ini menunjukkan usaha kami membuahkan hasil. Terima kasih kepada peserta dan penduduk Kampung Arung yang memberikan kerjasama penuh dalam memastikan ladang mereka diurus dengan baik,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Dividen Projek TSK Orang Asli Kampung Arung bertempat di Balai Raya Kampung Arung, di sini hari ini.
Menurutnya, pengukuran semula kawasan ladang menunjukkan keluasan sebenar yang dapat diurus adalah 84 hektar, berbanding rekod asal yang diberikan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan RISDA Plantation Sdn. Bhd mencatatkan 126 hektar.
“Pengukuran ini dilakukan secara teliti bersama mandor yang pernah bekerja dengan RISDA Plantation Sdn. Bhd. untuk memastikan tiada kawasan tertinggal,” katanya lagi.
Beliau turut menepis tohmahan yang mendakwa pengurusan ladang oleh ORACO akan menyebabkan tanah dirampas oleh kerajaan negeri.
“Boleh tanya sendiri kepada penduduk Kampung Arong, adakah ladang mereka dirampas? Malah, peserta memaklumkan pengurusan ORACO sangat baik sehingga hasil ladang mereka terus meningkat.
“Kita menggunakan format pengurusan yang mengurangkan ketirisan, dan ini membolehkan hasil meningkat. Pendekatan berstruktur yang dilaksanakan oleh ORACO di Kampung Arung ini diharapkan menjadi model kepada TSK di kawasan lain untuk meningkatkan hasil dan taraf hidup peserta Orang Asli,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) Kampung Arung, Sarimah A/P Busu berkata, peningkatan dividen berkenaan membuktikan pengambilalihan ORACO adalah satu tindakan yang tepat.

“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang dan Oraco dengan penyerahan dividen sebanyak RM1,000 untuk kami peserta kesemuanya seramai 51 orang.
“Dengan penyerahan dividen pada hari ini, bagi saya membuktikan ORACO adalah yang terbaik,” katanya yang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan sebuah komputer untuk kegunaan JPKKOA Kampung Arung.

Peserta, Bedah A/P Busu, 52, juga turut merakamkan penghargaan kepada pihak YAB. Menteri Besar dan Oraca atas pemberian dividen berkenaan.
“Saya sangat berbesar kerana memberikan dividen ini setelah diambil alih oleh ORACO. Dengan pemberian dividen ini saya hendak guna untuk membeli beras dan keperluan harian. Bersyukurlah dengan apa yang diberi,” kata ibu tunggal seorang anak itu. -PAHANGMEDIA

