Oleh : Norhafizan Zulkifli
ROMPIN, 16 DISEMBER 2024 : Kompleks Rakan Muda Rompin yang bertempat di Kampung Bernas, Kuala Rompin, di sini dijangka akan dibuka untuk kegunaan orang ramai menjelang suku kedua tahun hadapan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB. Tuan Adam Adli Abd Halim berkata, projek penaiktarafan kompleks itu meliputi dua komponen utama iaitu projek naik taraf yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah bermula pada Mac 2022 dan pembinaan benteng pemecah ombak yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah bermula pada Ogos 2022.
Katanya, projek yang kini telah siap dinaiktaraf sepenuhnya itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM15.2 juta.
“Terima kasih kepada pihak JPS dan JKR kerana telah memberikan kerjasama yang baik dan Alhamdulillah kita dapat selesaikan kerja naiktaraf Kompleks Rakan Muda Rompin serta benteng pemecah ombak untuk pastikan kita dapat pelihara dan pastikan kompleks ini boleh terus digunakan dengan selamat.
“Alhamdulillah kita dah boleh mula buka penggunaannya dalam masa terdekat. Kita akan mula hebahkan penggunaan dan ada cadangan untuk pengunaan secara percuma bagi tempoh percubaan dan sebagainya nanti kita akan umumkan.

“Namun kita harap kompleks ini dapat dimanfaatkan sebaiknya bukan sahaja oleh anak belia tempatan tetapi juga untuk mereka yang berkunjung ke negeri Pahang terutamanya ke Rompin,” katanya selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Siap Kerja Kompleks Rakan Muda Rompin di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkrasu, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JPS, YB. Dato’ Ir. Rozman Mohamed dan Pengarah JKR Pahang, YH. Dato’ Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
YB. Tuan Adam Adli juga berkata, sebanyak empat kompleks dan fasiliti sukan di negeri ini yang diberi tumpuan untuk dinaiktaraf dan dibina baharu.
“Untuk Negeri Pahang, kita ada lapan kompleks sukan keseluruhan dan untuk projek akan datang kita ada empat. Antaranya, naiktaraf dan bina baharu Kompleks Sukan Kuantan yang bernilai RM25 juta dan dijangka akan disiapkan pada Mei 2025.
“Kemudian kita ada penaiktarafan Stadium Hoki di Indera Mahkota dengan nilai keseluruhan sekitar RM3.5 juta dan ini dalam pembinaan juga. Naik taraf rumput Stadium Darul Makmur bernilai RM500,000 dan penaiktarafan Kompleks Rakan Muda Rompin ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

