Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 15 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memberi perhatian terhadap golongan anak yatim piatu di negeri ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap golongan itu terbukti menerusi pembentangan Belanjawan Pahang 2025 yang lalu.
“Kita nak memberikan perhatian kepada mereka ini… golongan anak-anak yatim yang kekurangan kasih sayang seorang ibu, sekurang-kurang boleh.. mungkin tak sepenuhnya atau sama seperti ibu kandung tapi sekurang-kuranganya adalah sentuhan daripada kita.

“Kerajaan Negeri sentiasa beri perhatian. Contohnya dalam bajet yang lalu untuk PDK (Pusat Dalam Komuniti) dan untuk anak-anak yatim memang ada.
“Itu menunjukkan sokongan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan golongan ini. Dan semua cambahan idea ini adalah dari YAB. Menteri Besar Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian program Sentuhan Kasih : Membuat Roti, Mencipta Memori yang diadakan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK) di sini hari ini.
Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad; Pengetua RKKSHK, Puan Murni Azraniza Umar; Timbalan Pengertua RKKSHK, Puan Suriyati Taha, Ahli Lembaga Pelawat (ALP) RKKSHK, Dr. Asmadi Abdul Rahman dan ahli Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Daerah Bera.

Bersempena program berkenaan, seramai 35 anak-anak RKKSHK terlibat dalam aktiviti membuat roti yang diajar oleh tenaga pengajar dari Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai.
YB. Dato’ Sabariah juga memberitahu, program seumpama itu merupakan program pertama kali dianjurkan di rumah kanak-kanak berkenaan justeru merangka untuk menganjurkan lagi aktiviti seumpama itu di masa akan datang.
“Hari ini saya menyantuni kanak di rumah kanak-kanak di RKKSHK ini. Kami buat pelbagai aktiviti seperti membuat roti untuk yang berumur antara 13 hingga 18 tahun dan mewarna untuk kanak-kanak
“Hari ini juga, terlaksanalah salah satu impian kami. Sekiranya ada permintaan, kami akan pergi. Saya ada tim saya di mana kita bukan sahaj membuat roti tetapi ada juga kraftangan. Mungkin akan datang kita buat benda lain pula seperti kraftangan dan sebagainya,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri dalam masa sama akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi anak-anak yatim yang ditempatkan di RKKSHK berkenaan.
“Lepas umur 17 tahun, mereka akan keluar dari sini dan InshaAllah mereka ini akan dibekalkan sekurangnya ada ilmu untuk mereka terlibat dengan masyarakat di luar sana,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

