Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan akademi rel pertama di negara ini melalui penubuhan Akademi Rel Pahang dengan kerjasama strategik antara UCYP University dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penubuhan akademi ini merupakan satu langkah penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan industri rel di Negeri Pahang.
“Akademi Rel yang ditubuhkan ini adalah yang pertama di negara kita. Ini bagi memastikan adanya tenaga kerja mahir bila MRL siap hujung tahun 2026 dan akan beroperasi pada awal 2027.
“Kita sedia maklum di Pahang ada tujuh buah stesen MRL di seluruh Negeri Pahang dan untuk tujuan itu Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM5 juta untuk merealisasikan supaya Akademi Rel ini menjadi kenyataan.

“Dan insyaAllah empat daripada sekarang kita akan melancarkan akademi yang akan melatih tenaga mahir, anak-anak muda kita yang akan mempunyai kepakaran terutama bidang keretapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UCYP University dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di Hotel Royal Chulan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd., Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.
Beliau berkata seramai 2,000 pelajar akan diambil bagi menyertai akademi ini melibatkan anak muda khususnya dari Negeri Pahang melibatkan pengambilan kira-kira 200 pelajar bagi satu sesi pengambilan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga menyambut baik jaminan Malaysia Rail Link Sdn Bhd bahawa pelatih Akademi Rel Pahang akan diberi peluang pekerjaan selepas tamat latihan, selari dengan pembukaan operasi ECRL kelak. -PAHANGMEDIA

