Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Projek Bekalan Paip Agihan Air Kemaman – Gebeng bernilai RM120 juta telah siap sepenuhnya dan akan dirasmikan pada 12 Disember depan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, projek ini dapat menjamin ketersediaan bekalan air di kawasan Gebeng.
“Selain itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga dalam proses pembinaan Tangki Gebeng dengan kapasiti 90 juta liter membabitkan peruntukan RM 174 juta, di mana kemajuan semasa pembinaannya adalah 50 peratus dan dijangka siap pada pertengahan 2026.
“Bagi jangka panjang pula, pembinaan baharu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling kini di peringkat pra-pembinaan, di mana kerja-kerja akhir oleh perunding dilantik dan dijangka proses tender pada akhir suku kedua 2025,” katanya.
Menurut beliau, pihak PAIP juga mengambil inisiatif melaksanakan projek pemasangan paip baharu bagi menampung keperluan penduduk di kawasan Selancar, Rompin.
“Pihak PAIP sedia maklum berkenaan kedudukan FELDA Selancar yang agak jauh dari Loji Rawatan Air (LRA) Keratong. Justeru itu, pihak PAIP telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan cadangan projek pemasangan paip bersaiz 600mm bagi tujuan mengasingkan laluan paip di antara Booster H di kawasan Selancar dan Chanis, dan Booster D di Perantau Damai berbanding berkongsi jajaran paip pada masa kini.
“Dengan pemasangan paip ini, bekalan air ke Booster H, kawasan Selancar dan Chanis, dapat dipertingkatkan untuk menampung penambahan permintaan bekalan air di kawasan Selancar.
“Projek ini dilaksanakan di bawah peruntukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAP) dan status pelaksanaan projek ini di peringkat reka bentuk oleh pihak perunding lantikan PAAP dan dijangka proses tender pada suku pertama tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

