Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah mula melaksanakan program Air Tidak Berhasil (NRW) secara holistik dengan bantuan Kerajaan Persekutuan sejak 2020 berjumlah RM75 juta.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia melibatkan projek peringkat pertama dan kedua melalui penukaran meter-meter lama dan pembaikan tangki-tangki air di seluruh daerah di negeri ini.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha pihak PAIP untuk menurunkan kadar NRW dari 47 peratus kepada paras 39.5 peratus pada tahun 2028.
“Selain itu, berdasarkan data yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), peratus NRW bagi tahun 2023 yang peratusannya tinggi adalah negeri Perlis dengan 64.5 peratus, Kelantan 54 peratus dan Kedah 50.7 peratus,” katanya.
Menurut beliau, PAIP juga turut melaksanakan penggantian paip-paip usang yang menyebabkan kebocoran dengan mensasarkan 38 projek melibatkan kos sebanyak RM133.2 juta di Pahang.
“PAIP turut melaksanakan penggantian paip-paip usang yang menyebabkan kehilangan air yang tinggi akibat kekerapan bocor dengan mensasarkan sebanyak 38 projek baru di seluruh Negeri Pahang dengan kos projek sebanyak RM133.2 juta.
“Di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), PAIP telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM425 juta bagi tempoh 5 tahun dengan sasaran menambah pembentukan Distric Meter Area (DMA) dan Pressure Management Area (PMA) dengan kos anggaran RM106 juta.
“Selain itu, pihak PAIP juga memohon secara berterusan penggantian paip-paip yang kritikal dan usang berjumlah RM319 juta,” katanya.
Beliau berkata permohonan ini merupakan sebahagian pelaksanaan Program NRW Kebangsaan yang akan meningkatkan pengurusan air seluruh negara melibatkan kos bernilai RM2.525 bilion.
“Dan ia telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 24 Julai yang lalu. Program NRW Kebangsaan yang dikendalikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ini akan dilaksanakan bermula dari tahun 2025 sehingga tahun 2030 melalui pembiayaan geran.
“Menerusi program ini, Kerajaan mensasarkan untuk mengurangan NRW Kebangsaan kepada 28.8 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

