Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Sebanyak 1,029 buah rumah telah dibina di bawah Program Bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP) sejak 2020 di negeri ini dengan peruntukan hampir RM75 juta.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, program bantuan rumah ini melibatkan empat fasa.
“Program bantuan rumah rakyat ini dilaksanakan bagi membantu golongan sasar dan rakyat miskin yang berstatus e-kasih bagi memiliki kediaman yang selesa.
“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan hampir RM75 juta bagi pembinaan unit RRP ini dengan kos pembinaan daripada RM65,000 seunit dan dinaikkan kepada RM75,000 seunit Ketika Fasa 3 dan Fasa 4,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 244 unit RRP Fasa 4 telah siap dibina sehingga November tahun ini dan baki unit dalam pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.
“Pada tahun ini, sebanyak 450 unit RRP Fasa 4 dalam pembangunan melibatkan 350 unit kuota daerah dan 100 unit kuota ORACO.
“Terdapat 20 unit RRP dalam fasa sebelumnya iaitu Fasa 3 masih dalam pembinaan melibatkan daerah Kuantan (17 unit), daerah Maran (1 unit), dan daerah Rompin (1 unit),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, YB. Tuan Haji Mohd Tarmizi Yahaya pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

