Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Sebanyak 59,347 premis perniagaan di seluruh Pahang telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang dengan nilai rampasan RM1.44 juta dan kutipan kompaun berjumlah RM368,630.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, selain daripada penguatkuasaan, KPDN Pahang turut memperkasakan Kempen ‘Kita Gempur’ sebagai usaha mencegah ketirisan barang kawalan dan subsidi.
Menurutnya, KPDN turut bekerjasama dengan Kerajaan Pahang bagi melaksanakan beberapa program iaitu Jualan Makmur Negeri Pahang, Program Jualan Rahmah Madani Negeri Pahang dan Program Penyeragaman Harga Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang telah menjalankan Jualan Makmur sempena Tahun Baru Cina di sembilan lokasi terpilih dan Hari Raya Aidilfitri di 23 lokasi terpilih bertujuan membantu rakyat Negeri Pahang membeli barangan keperluan untuk hari perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 10,476 suri rumah di Negeri Pahang telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bermula Januari hingga Oktober 2024 dengan pelan perlindungan bernilai RM120 setahun.
Selain daripada SKSSR, Kerajaan Pahang turut prihatin terhadap kebajikan dan perlindungan individu yang menjalankan pekerjaan di negeri ini dengan dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dengan jumlah pencarum yang telah didaftarkan adalah seramai 14,438 pencarum di Negeri Pahang.
Di samping itu, dalam usaha melindungi hak dan kebajikan pekerja serta melindungi kepentingan majikan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah menguatkuasakan 12 akta di bawah JTKSM agar piawaian penginapan pekerja dapat dipatuhi.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, JTK Pahang telah menerima permohonan daripada 96 majikan mencakupi 11,041 unit penginapan dengan kapasiti memuatkan 25,343 pekerja di seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA

