Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2024 : Skim Pelombong Kecil diwujudkan bagi memastikan aktiviti perlombongan dapat dilaksanakan secara sah selain mewujudkan konsep menang-menang di antara Kerajaan Negeri dan pengusaha kecil.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia juga dapat mengelakkan ketirisan hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui aktiviti ini.
“Sebelum kita tubuhnya Pahang Gold ataupun Skim Pelombong Kecil ni terutama di Kechau di kawasan Yang Berhormat daripada Padang Tengku, keadaannya dia jadi macam free for all. Dan tindakan individu walaupun tanah tersebut tanah mereka tetapi mineral di dalam tanah tersebut masih hak Kerajaan Negeri.
“Daripada itu saya bersama dengan rakan-rakan exco dan juga dengan JMB telah berbincang macam mana untuk menghalalkan perkara ini dan mengawal supaya emas-emas yang terdapat di bawah tanah ini tidak dijual sesuka hati oleh pemilik tanah.
“Dan Kerajaan Negeri telah kehilangan hasil, satu sen pun tak dapat. Jadi kita telah berbincang, kita telah berusaha mewujudkan Skim Pelombong Kecil yang perlu berdaftar dengan Kerajaan Negeri dan ia merupakan cara kita mengawal mekanisma,” katanya.
Menurut beliau, bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan harga emas atau sebagainya, pihak Kerajaan Negeri telah melantik hanya seorang bagi tujuan membeli emas dan ia mengikut harga pasaran.
“Kita lantik sorang saja yang boleh membeli emas tersebut dan orang yang beli ini yang kita kenal mempunyai kedudukan kewangan yang baik, track rekod yang baik, dan mempunyai rangkaian yang baik.
“Tidak seperti sebelum itu, sebelum adanya skim perlombongan kecil ini siapa-siapa pun boleh beli, tawar RM100 satu gram contohnya, dah itu yang ini tawar RM80, ini tawar RM50. Jadi kita sekarang mengikut harga pasaran,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang telah berjaya mengutip hasil royalti keluaran emas sebanyak RM10,190,959 bagi tahun ini setakat November berbanding RM5,498,567 bagi tahun lepas.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang, dan soalan tambahan dari ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

