Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 DISEMBER 2024 : Peratus pengangguran pada tahun 2023 menurun kepada 2.0 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun sebelumnya di Pahang melibatkan industri pembuatan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata sektor pembuatan turut menyumbang peningkatan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar Negeri Pahang bagi 2023.
“Industri pembuatan mencipta ribuan peluang pekerjaan di pelbagai peringkat, menyokong ekonomi keluarga dan komuniti setempat.
“Sektor pembuatan menyumbang peratusan signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri iaitu 21.6 peratus dengan nilai RM14 billion pada tahun 2023 meningkat berbanding RM13.7 bilion pada tahun 2022.
“Eksport produk pembuatan, seperti bahan kimia dan logam, membantu meningkatkan hasil perdagangan negeri. Nilai eksport pada tahun 2023 adalah RM32.7 bilion berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Pahang Tahun 2023 yang dikeluarkan pada tahun 2024,” katanya.
Menurut beliau, Pahang juga merupakan salah sebuah negeri yang sedang pesat membangun dalam sektor pembuatan melibatkan beberapa sektor utama.
“Petrokimia dan kimia. Di kawasan perindustrian Gebeng, berhampiran Pelabuhan Kuantan, menjadi hab utama untuk industri petrokimia. Syarikat besar seperti BAS-Petronas Chemicals memainkan peranan penting dalam menghasilkan bahan kimia dan produk petrokimia berkualiti tinggi.
“Pembuatan logam di mana industri pemprosesan logam, termasuk aluminium, adalah sektor utama di Pahang. Contohnya, kilang pemprosesan aluminium Press Metal dan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Gebeng. Sektor ini menyumbang kepada eksport dan memenuhi keperluan pasaran global.
“Produk berasaskan sumber asli melibatkan produk pembuatan daripada kayu, kelapa sawit, dan getah adalah penting. Dan Pahang kaya dengan sumber asli, yang menjadi asas kepada pembuatan perabot, minyak sawit, dan produk getah. Serta bahan termaju, di mana sektor bahan termaju, seperti produk seramik dan bahan binaan, berkembang dengan sokongan teknologi dan pelaburan asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB. Dato’ Haji Abdul Aziz Haji Mat Kiram pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

