Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 2 DISEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 54 penerima.
Majlis istiadat berkenaan telah diadakan sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertempat di Dewan Tun Razak di Temerloh.
Mendahului senarai penerima ialah Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, YBhg. Dato’ Seri Yeoh Seok Hong diikuti Peguambela dan Peguamcara Perunding Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, YBhg. Datuk Wira Raja Segaran A/L S. Krishnan yang merupakan penerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.

Seramai lima individu pula telah dikurnia Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Pengarah Negeri Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Pahang, Encik Ruslan Othman, Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Bebas Tatatertib Polis, YH. Dato’ Tan Kang Sai dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Manakala seramai 30 penerima pula telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada Pengurus YM Pantai Lagenda Resources, YM Tengku Ahmad Ashraf Tengku Dato’ Sri Haji Asmawi diikuti Pengarah Pendidikan Pahang, Encik Amzan Abd Malek, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Dr. Kamaliah Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat PLUS, Tuan Haji Suris Mihat.
Penerima seterusnya ialah Cik Nadimah Hilwah Mohd Saifuddin yang dikurniakan Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Seramai enam penerima pula dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) antaranya ialah Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS), Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer, Mejar Dr. Muhammad Syukri Haji Zahari Al-Hafiz dan Encik Abdul Rahman Japar.
Seramai tujuh penerima pula telah dikurniakan Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) antaranya ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Pahang, Encik Zulkhairil Zainuddin, Puan Nurul Intan Suraya Aminuddin dan Puan Noor Hanani Ahmad.
Bagi Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) pula telah dikurniakan kepada tiga individu iaitu Encik Asyhar Amin Ahmad, Encik Mohd Anwar Azizan dan Encik Awi Naim.
Mengiringi KDPM Tengku Mahkota Pahang ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama isteri, YM. Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, Sahibus Saadah Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Haji Badli Shah Alauddin dan Ketua-Ketua Jabatan. -PAHANGMEDIA

