Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 02 DISEMBER 2024 : Empat kompaun telah dikeluarkan kepada premis yang melepaskan efluen melebihi had ditetapkan di Sungai Balok bagi tahun ini.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ia melibatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak empat kompaun telah dikeluarkan ke atas premis-premis yang telah melepaskan efluen melebihi had yang ditetapkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Iaitu tiga kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan satu kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009,” katanya.
Menurut beliau, tindakan mahkamah akan diambil terhadap premis terlibat sekiranya mereka gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.
Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang melalui Cawangan Gebeng sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan terhadap premis di kawasan berkenaan.
“Ia tertakluk kepada Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009 yang menyumbang efluen terolah ke dalam Sungai Balok.
“Di samping itu, JAS Negeri Pahang turut menjalankan program kesedaran bersama pihak industri bagi memelihara kualiti air di Sungai Balok,” katanya.
Tambah beliau, kualiti air di Sungai Balok masih kekal di Kelas III bagi tahun 2023 dan 2024 setakat ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

