Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 2 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri mengemukakan tujuh langkah bagi menangani kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, isu berkenaan merupakan isu pengurusan Hospital Negeri yang menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).
Katanya, langkah pertama yang diambil adalah kemasukan terus (Direct Admission) pesakit dari Klinik Kesihatan ke dalam wad Primary Team (pesakit yang memerlukan rawatan lanjut oleh Jabatan Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Ortopedik atau Jabatan Obstetrik dan Ginekologi) tanpa perlu melalui Jabatan Kecemasan.
“Langkah kedua yang diambil adalah dengan sentiasa memastikan jumlah pegawai perubatan yang mencukupi di Jabatan Kecemasan bagi setiap shift selain langkah ketiga iaitu meningkatkan kecekapan pegawai perubatan di jabatan masing-masing.
“Langkah keempat pula adalah dengan mewujudkan Bed Management Unit (BMU) yang diketuai oleh Pengarah Hospital untuk memastikan semua katil operasi di dalam hospital boleh digunakan tanpa ada sempadan bagi setiap jabatan jika berlaku ketiadaan katil bagi jabatan yang memerlukan kemasukan wad dan langkah kelima adalah dengan memastikan keputusan ujian darah dapat diperoleh dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mejawab pertanyaan yang dikemukan ADUN Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif berkaitan langkah yang diambil Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di HTAA dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Dato’ Ir. Razali juga berkata, langkah kelima yang turut diambil adalah dengan memanjangkan waktu perkhidmatan di dua buah Klinik Kesihatan sekitar bandar Kuantan iaitu di Klinik Kesihatan Bandar Kuantaan dan Klinik Kesihatan UTC.
Selain itu katanya, langkah ketujuh yang diambil Kerajaan Negeri dan JKNP adalah dengan mempromosikan perkhidmatan atas panggilan selepas waktu pejabat di enam buah klinik kesihatan di Kuantan iaitu Klinik Kesihatan Balok, Klinik Kesihatan Bukit Goh, Klinik Kesihatan Sungai Lembing, Klinik Kesihatan Gambang, Klinik Kesihatan Kurnia dan Klini Kesihatan Paya Besar.
“Kesimpulannya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh JKNP bagi menangani isu kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma di HTAA dan juga hospital-hospital lain di negeri Pahang.
“Kesemua langkah-langkah ini telah diperkemaskini melalui Pelan Tindakan Isu Kesesakan Jabatan Kecemasan dan Trauma Negeri Pahang yang telah dipersetujui pada Mei tahun dan JKNP akan sentiasa memantau dan menambahbaik perkhidmatan kecemasan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dapat diberi kepada seluruh rakyat negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

