Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 02 DISEMBER 2024 : Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syari’e Pahang pada lima tahun lalu membolehkan jabatan itu diurus dengan lebih teratur, tersusun rapi dan lebih fokus.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pengasingan jabatan berkenaan yang pada asalnya berada di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) merupakan usaha gigih Kerajaan Negeri dalam memperkasakan institusi agama.
Katanya, antara kejayaan JPSP adalah dengan memperkenalkan sistem eDakwa dalam usaha memudahkan setiap urusan berkaitan pendakwaan Syari’e negeri ini.
“Walaupun baru berumur lima tahun, tapi jabatan ini telah berjaya mengatur strateginya setahun demi setahun untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Pada 2022, jabatan ini telah berjaya mengadakan Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syari’e Seluruh Malaysia di Kuantan. Daripada persidangan itu, apa yang menariknya, jabatan ini telah berjaya memperkenalkan sistem yang dinamakan eDakwa, sekali gus menjadikan Pahang negeri pertama memperkenalkan sistem ini yang memudahkan dan menyegerakan segala urusan melibatkan jabatan ini.
“Seterusnya, pada tahun 2023, kita telah berjaya membentangkan satu pelan strategi untuk memperkasakan lagi JPSP. Alhamdulillah dengan usaha segigih mungkin Kerajaan Negeri, dengan terwujudnya jabatan ini secara bersendiri, maka jabatan ini mampu memberikan keupayaan servisnya kepada rakyat,” katanya.
Belia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang ADUN Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berkaitan usaha Kerajaan Negeri menambahbaik Jabatan Pendakwaan Syari’e Pahang dalam menangani pendakwaan kes-kes syariah di negeri ini pada Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Tuan Mohd Fadzli dalam pada itu turut mengemukakan soalan tambahan berkaitan cadangan untuk jabatan itu memiliki atau menyewa bangunan sendiri memandangkan jabatan itu kini sedang menumpang di Pejabat Agama Islam Bandaraya Kuantan.
Bagi menjawab pertanyaan tambahan itu itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, keutamaan adalah untuk mewujudkan jabatan terbabit terlebih dahulu dengan menggunakan kemudahan-kemudahan sedia ada agar jabatan itu tetap terus bergerak.
“Bagaimanapun, kita nak selesakan keadaan, Jumaat lepas YAB. Menteri Besar Pahang telah mengumumkan satu peruntukan untuk membina Pejabat Agama Islam Bandaraya Kuantan. Jadi di situ akan memberi ruang kepada pejabat agama dan Jabatan Pendakwaaan Syari’e Pahang menggunakannya secara berasingan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

