Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 02 DISEMBER 2024 : Kemasukan pelajar Tingkatan 4 bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di negeri ini telah mencapai 28.03 peratus bagi tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ia lebih 0.03 peratus berbanding jumlah yang disasarkan.
“Bagi Negeri Pahang, KPI bagi enrolmen murid Tingkatan 4 dalam bidang TVET ditetapkan pada 28 peratus dan pada tahun 2024, jumlah enrolmen keseluruhan telah mencapai 28.03 peratus.
“Sekolah-sekolah di Daerah Jerantut turut mencatatkan peratus enrolmen murid yang tinggi bagi aliran TVET, dengan butiran berikut; SMK Damak 16.19 peratus; SMK Inderapura (40.54 peratus); SMK Jerantut (27.62 peratus); SMK Kota Gelanggi 2 (35.94 peratus); SMK Lepar Utara (45.90 peratus); dan SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (33.64 peratus),” katanya.
Menurut beliau, SMK Jerantut juga telah memohon untuk menambah kelas MPV Hiasan Dalaman yang dirancang beroperasi pada 2025.
“Langkah ini selaras dengan hasrat Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) KPM untuk meningkatkan enrolmen murid dalam bidang TVET sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2025.
“Pelaksanaan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) yang melibatkan 56 buah sekolah diseluruh negeri Pahang dan menawarkan 19 mata pelajaran iaitu Pendawaian Domestik; Katering Dan Penyajian; Produksi Reka Tanda; Landskap Dan Nurseri; Produksi Multimedia; Hiasan Dalaman; Menservis Motosikal; Kimpalan Arka Dan Gas; Menservis Automobil.
“Menservis Peralatan Penyejukan Dan Penyamanan Udara; Reka Bentuk Grafik Digital; Rekaan Jahitan Pakaian; Produksi Reka Tanda; Menservis Peralatan Elektrik Domestik; Pemprosesan Makanan; Pembuatan Perabot; Pembinaan Domestik; Akuakultur Dan Haiwan Reakreasi; dan Tanaman Makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

