Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memperkukuh perkembangan Industri Halal di Pahang dengan mewujudkan Taman Industri Halal Gambang seluas 169 ekar yang kini telah sedia menerima kemasukan para pelabur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu Kerajaan Pahang juga turut memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyenaraikan cadangan pembangunan Taman Indsutri Halal di Seksyen 3, Kawasan Perindustrian Gebeng seluas 730 ekar dengan Fasa 1 seluas 250 ekar sebagai projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Industri Halal di Pahang terus berkembang dengan penyertaan enam peserta pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai pada pertengahan November lalu berjaya menarik ramai pelabur untuk melabur di Pahang.
“Dengan segala kelebihan yang ada baik dari segi lokasi dan juga pengangkutan yang strategik, Pahang berada di landasan yang tepat untuk menjadi peneraju industri halal di negara ini, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menurutnya, kesempatan ini dapat memberi peluang kepada Pahang untuk terus berkembang dalam sektor halal selepas berjaya menarik pelabur dari Negara China pada lawatan kerja beliau ke Shanghai, China bersama YAB Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (HDC), Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada September lalu. -PAHANGMEDIA

