Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.03 juta bagi pelaksanaan projek baikpulih rumah dan projek pembekalan air ke kampung Orang Asli di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan sebagai menghargai penglibatan Orang Asli dalam pembangunan negeri Pahang.
Selain itu katanya, sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan program seperti pemberian komputer riba, insentif perkahwinan kali pertama dan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang.
“Program e-DOA (Education Demi Orang Asli) dan program pembangunan belia serta insentif kecemerlangan juga akan diteruskan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Selain itu, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga memberitahu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang.
“Sekretariat Muafakat FELDA Pahang ini akan bertindak sebagai one-stop centre bagi mengkoordinasi seluruh program dan bantuan selain menjadi platform sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dan pentadbiran FELDA seterusnya seluruh warga FELDA di negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

