Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan meneruskan kesinambungan usaha menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air di Pahang menjelang 2026 dengan memperuntukkan RM91.97 juta pada tahun 2025 untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan ini merangkumi beberapa projek iaitu membina dan menyiapkan Loji Ratawan Air (LRA) Bukit Puling, Kuantan (RM40 juta), membina dan menyiapkan tangki imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng (RM45 juta), membina dan menyiapkan LRA di Karak, Bentong (RM500,000) dan membina tangki sedutan dan rumah pam di LRA Jelai dan pemasangan paip dari LRA Jelai ke tangki Bukit Bius (RM570,000).
Manakala, sebanyak RM3.5 juta pula diperuntukkan untuk meneruskan projek bekalan air Nenasi, Pekan, RM600,000 untuk meneruskan projek bekalan air Raub dan meneruskan pembinaan projek paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng berkapasiti 90 juta liter sehari di Kuantan dengan peruntukan RM1.8 juta.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan RM235,000 kepada Badan Kawal Selia Air bagi penyelenggaraan sistem pemantauan kualiti air atas talian bagi daerah Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri telah memperuntukkan RM94.6 juta bagi melaksanakan projek-projek merangkumi naik taraf jalan serta baik pulih dan menaik taraf kompleks pejabat kerajaan di Pahang.
Kerajaan Pahang juga turut memperuntukkan RM300,000 bagi Kempen Ops Selamat Bersepadu Negeri Pahang dan Program Keselamatan Jalan Raya bagi tahun 2025 selain RM500,000 diperuntukkan kepada Lembaga Pembangunan Tioman bagi pelaksanaan Kad Pengangkutan Feri Tioman yang dikhususkan kepada penduduk pulau peranginan itu. -PAHANGMEDIA

