Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bagi menubuhkan pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan meneliti dan memperhalusi bersama dengan jabatan-jabatan terlibat termasuklah pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela.
“Kita dah bincang dalam Mesyuarat Exco Kerajaan, (Kerajaan) akan ambil tindakan selanjutnya dan perkara ini perlu diperhalusi dengan jabatan-jabatan sedia ada seperti bomba, PDRM, APM, Rela dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, persiapan menghadapi banjir telah dilaksanakan dengan baik termasuklah menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bekalan makanan, pengangkutan dan logistik.
“Banjir ini seperti acara tahunan di Pahang sebab setiap tahun berlaku banjir dan persediaan-persediaan awal telah pun dibuat oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri selaku pengerusi bencana telah pun memanggil mesyuarat beberapa kali dan kita telah pun membuat persediaan awal untuk menghadapi musim banjir di Pahang,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2025, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM19.89 juta bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir termasuklah pelaksanaan program, inisiatif dan projek berkaitan seperti tebatan banjir, projek kawalan hakisan pantai dan membaik pulih muara sungai serta sistem saliran bandar di seluruh Pahang. -PAHANGMEDIA

