Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan sebuah pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditubuhkan di Sungai Pahang.
Paduka Baginda bertitah pasukan berkenaan dapat memantau kawasan sepanjang Sungai Pahang selain dapat mempercepatkan operasi sekiranya berlaku kejadian lemas dan sebagainya.
“Sudah sampai masanya Pahang mempunyai team dedicated buat SAR. Kita tahu hotspot ni di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baru dapat mempercepatkan operasi .Sekurang-kurangnya dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ni panjang.
“Satu lagi buatlah notis, papan tanda peringatan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada. Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai, termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin, tergelincir,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli melihat operasi mencari dan menyelamat seorang guru yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor.
Mangsa, Murdani Ab Rahman, 53, yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor disedari terjatuh ke dalam sungai ketika memancing kira-kira jam 6 petang semalam sebelum dihanyutkan arus deras.
Paduka Baginda yang berangkat tiba pada 12.20 tengahari turut bercemar duli menyertai operasi mencari dan menyelamat dengan menaiki bot bomba bersama pasukan penyelamat.
Al-Sultan Abdullah turut bercemar duli menyantuni keluarga mangsa serta turut menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang telah berlaku.
“Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemui Cikgu Murdani.
“Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

