Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 25 NOVEMBER 2024 : 79 sungai di negeri ini berada dalam kategori kualiti air bersih hasil pengawasan kualiti air di 86 sungai dan anak sungai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang sehingga bulan Oktober.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, baki 7 sungai lagi berada dalam kategori sederhana tercemar.
“Dalam memastikan sungai di Negeri Pahang ini berada dalam kategori bersih, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pengawasan melalui persampelan air sungai sepanjang tahun 2024 mengikut frekuensi yang ditetapkan.
“Berdasarkan pengawasan kualiti air di 86 sungai dan anak sungai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang sehingga bulan Oktober tahun ini mendapati 79 batang sungai adalah bersih dan 7 batang sungai sederhana tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 Peringkat Negeri Pahang dengan tema Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama di Taman Tasik Sultan Abu Bakar.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang, Ybrs. Tuan Haji Wandi Yadzid Haji Yaakob; dan Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang terus giat menjalankan usaha bagi memastikan peningkatan kualiti air sungai di seluruh negeri ini melibatkan kerjasama JAS dan agensi berkaitan.
“Usaha-usaha terus giat dijalankan bagi memastikan kualiti air sungai ini bersih melalui pembangunan terancang, penguatkuasaan ke atas punca-punca pencemaran yang berada di dalam lembangan sungai tersebut dan pengurusan hidrologi sungai oleh JAS dan Agensi Kerajaan berkaitan di Pahang. Tanggungjawab menjaga alam sekitar ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA

