Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Fadhil Roslizan
RAUB, 25 NOVEMBER 2024 : Kerajaan Pahang menyumbang hampir RM100,000 berupa cek dan peralatan sukan kepada 15 sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan tersebut merupakan projek rintis dalam usaha mencungkil bakat sukan untuk dilatih menjadi atlet Pahang di kalangan pelajar sekolah.
“Ini adalah inisiatif kita untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi untuk kejohanan-kejohanan yang berprestij termasuk SUKMA dan melalui kerjasama ini Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk melatih pelajar-pelajar yang berpotensi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Pahang Media selepas Majlis Penyerahan Cek dan Peralatan Sukan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada Sekolah-Sekolah Di DUN Dong yang diadakan di Dewan Jubli Perak Raub di Raub, hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Tuan Haji Zamri Hassan, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun dan Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Tuan Haji Rushdan Nordin @ Noordin.
Pada majlis itu, kesemua sekolah menerima peralatan sukan di mana setiap sekolah mewakili dua jenis sukan terpilih yang akan dipantau dan dinilai prestasi dalam tempoh enam bulan akan datang sebelum dikembangkan ke kawasan lain.
“Pada tahun hadapan kita tengok berdasarkan prestasi sama ada keperluan untuk kita tambah barangan tersebut atau kita perlu bantu dari segi kejurulatihan dan nasihat kepada pihak sekolah bagaimana hendak meningkatkan prestasi sukan yang telah mereka pilih,” katanya.
Projek rintis ini melibatkan tiga sekolah menengah dan 12 sekolah rendah di kawasan DUN Dong. -PAHANGMEDIA

