Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2024 : Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai yang berlangsung baru-baru ini merupakan platform terbaik usahawan tempatan untuk melebarkan sayap perniagaan ke pasaran dunia.
Ahli Lembaga Pengarah Matrade, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin berkata, kejayaan Negeri Pahang yang merupakan antara empat negeri di Malaysia yang menyertai MIHAS@Dubai menggambarkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi membuka peluang usahawan tempatan menjana keuntungan khususnya di dalam industri halal.
“Saya berharap lebih ramai usahawan dari Pahang mendaftar dengan Matrade dan dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tok Wan, pastinya ia akan menjana lebih banyak peluang dan keuntungan kepada usahawan-usahawan tempatan khususnya dalam industri halal,” katanya ketika dihubungi Pahang Media.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Pahang di atas kejayaan tersebut yang pastinya dibimbing dengan sokongan Kerajaan Negeri dan Matrade.
Mengulas Kejayaan Pavilion Pahang di MIHAS@Dubai yang berjaya mencatat jualan USD63.9 juta, beliau berkata, ini membuktikan bahawa produk halal dari Pahang diyakini dan berkualiti di pasaran dunia.
“Dengan total sales (jumlah jualan) yang begitu besar, saya nampak usaha Kerajaan Negeri memberi tanah seluas 750 ekar sebagai Halal Hub itu sangat tepat dan pastinya produk dari Pahang diyakini dan berkualiti ke pasaran dunia,” katanya.
Pada MIHAS@Dubai lalu, Pahang berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak USD63.9 juta di mana USD8.7 juta merupakan hasil jualan sebenar manakala USD55.2 juta pula adalah potensi jualan yang diunjurkan.
Kejayaan ini adalah hasil usaha enam peserta pameran dari Pahang yang berjaya mengetengahkan produk halal berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa. – PAHANGMEDIA

