Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 22 NOVEMBER 2024 : Peruntukan bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa dinaikkan kepada RM14.18 juta tahun ini berbanding RM8 juta tahun lepas.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peningkatan ini dapat memberi manfaat kepada 19,525 orang mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta milik Kerajaan Negeri Pahang.
“Sumbangan kepada mahasiswa juga meningkat daripada RM300 kepada RM400 untuk setiap mahasiswa.

“Setakat November 2024, lebih 16,000 mahasiswa telah menerima Bantuan Prihatin Pahang 2024 melalui agihan di universiti dan di Dewan Negeri.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih kurang RM6 juta untuk sumbangan sehingga November 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) melibatkan dua kluster iaitu Kluster Pertanian, Veterinar dan Perikanan dan Kluster Siswa di Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.

Menurut beliau, sehingga 2024, Kerajaan Negeri Pahang telah membelanjakan sebanyak RM141.78 juta bagi pelaksanaan pelbagai program di bawah inisiatif BPP dengan RM38.08 juta diperuntukkan bagi BPP secara keseluruhan tahun ini.
Sementara itu, beliau turut menegaskan pendidikan kaum orang negeri ini tidak pernah dipinggirkan termasuk dalam bidang robotik yang di lihat memberi peluang untuk mereka bersaing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Ini terbukti dengan sejarah yang dicipta dua tahun berturut-turut oleh pelajar Pahang yang mewakili Malaysia ke Pertandingan Make X International Robotics Competition di China, iaitu Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang pada tahun 2023 dan Sekolah Kebangsaan Padang Rumbia pada tahun 2024.
“Dalam pada itu, bengkel asas Kokurikulum Pendidikan Robotik bagi 33 buah Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) negeri Pahang juga telah diadakan pada 2 hingga 4 Oktober lalu di Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan, Lipis,” katanya. -PAHANGMEDIA

