Oleh: Norhafizan Zulkifli
RAUB, 23 NOVEMBER 2024: Pemilik tanah di negeri ini diingatkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan membayar cukai tanah demi pembangunan Negeri Pahang dan generasi akan datang.
Justeru pemilik tanah dijemput untuk hadir ke Karnival Tanah Pahang Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2024 yang diadakan di Dewan Titiwangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub, di sini hari ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka itu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, daripada pembayaran cukai tanah berkenaan, ianya akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, sumbangan serta urusan-urusan lain.

“Jadi kalau kita sedar amanah dan tanggungjawab kita itu, kita kena tunaikanlah dengan membayar cukai mengikut masa yang ditetapkan. Dan daripada hasil cukai tersebutlah kita bangunkan negeri ini bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Raub Berselawat dan Ceramah bersempena Karnival Tanah Pahang berkenaan di sini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Raub, YH. Dato’ Mohd Khuzaidi Harun dan Kadi Daerah Raub, Tuan Muhammad Amin Abdul Mutalib.
Ceramah bertajuk “Dari tanah kita datang, kepada tanah kita kembali” disampaikan oleh Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ribat Al-Mustafa dan Ribat Az-Zahra, Al-Fadhil Ustaz Haji Muhammad Uwais Qarni Abdul Wahab Al-Hafiz, manakala selawat disempurnakan oleh kumpulan selawat jemputan, Kumpulan Qasidah Kuantan Firqah Nurul Huda Al-Hadi.
Menyentuh tentang ceramah berkenaan, YB. Tuan Fadzli berkata, ia merupakan satu pengisian yang baik dalam karnival berkenaan sekali gus harus diperhebatkan lagi di masa akan datang.
“Jadi ceramah ini amat cukup memberi kesan kepada kita betapa aman damai dan sejahteranya bumi bertuah Pahang ini yang perlu kita pelihara dan jaga sama ada di kalangan pemimpin mahupun di kalangan rakyat.
“Dan kalau kita faham, kita mensyukuri nikmat yang Allah bagi, kita sama-samalah berbakti kepada negeri tercinta ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

