Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 22 NOVEMBER 2024 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa disifatkan sebagai bantuan bagi anak muda menghadapi dunia pengajian tinggi.
Menurut Muhamad Aidid Amrin, 18, dari Kampung Beletik turut melahirkan rasa bersyukur di atas bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang mana dapat meringankan beban kewangan bagi memulakan kehidupan sebagai pelajar.
“Saya amat bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh Menteri Besar Pahang dan ia amat membantu saya dari segi pelajaran, dan kewangan ketika belajar.

“Saya plan nak guna bantuan ini untuk bayar yuran, dan beli keperluan yang patut serta bagi membayar program yang memerlukan bayaran. Ini membantu sangatlah.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang atas sumbangan yang dapat membantu ramai anak muda untuk sambung belajar khususnya yang baru masuk dalam dunia universiti,” katanya yang merupakan pelajar jurusan sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka.
Sementara itu, menurut Encik Zulkifli Idris, 60, dari Kampung Kuala Medang yang menerima BPP Kluster Penternakan berkata ia dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan bagi menambah baik keadaan ternakan kerbaunya.

“Saya ada bela kerbau sejak 1981, dan saya bercadang nak buat pagar untuk kerbau saya. Sebelum ini tak ada pagar, ada yang mati.
“Bantuan hari ini saya rasa rezeki anak-anak, rasa gembira bila dapat tahu dapat bantuan ni. Bolehlah buat tampung belanja barang dapur, beli beras dalam musim hujan macam ni, sebab nak menoreh (getah) tak boleh,” katanya.
Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di Sungai Koyan merangkumi dua kluster iaitu Kluster Pertanian, Veterinar dan Perikanan; dan Kluster Siswa yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. -PAHANGMEDIA

