Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Sebanyak enam Klinik Kesihatan sekitar Daerah Kuantan menawarkan perkhidmatan kecemasan 24 jam atas panggilan sebagai langkah mengatasi kesesakan pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebagaimana laporan sebuah media pada semalam.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim dalam satu kenyataan media berkata, orang ramai yang memerlukan rawatan kecemasan boleh terus pergi ke Klinik Kesihatan (KK) Balok, KK Bukit Goh, KK Sungai Lembing, KK Gambang, KK Kurnia dan KK Paya Besar.
“Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengambil maklum dan sentiasa memantau berkaitan isu kesesakan pesakit di unit kecemasan HTAA, Kuantan.
“Salah satu inisiatif bagi mengurangkan isu kesesakan ini ialah fasiliti kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Bandar Kuantan yang terletak 4.4 kilometer dari HTAA yang menawarkan perkhidmatan ‘extended hour’ setiap hari sehingga jam 9 malam pada hari bekerja dan 8 pagi hingga 12 tengahari pada hari Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kesemua klinik yang menjalankan perkhidmatan kecemasan beserta pegawai perubatan oncall mempunyai perkhidmatan ambulans kecuali KK Kurnia kerana jarak berdekatan HTAA (5.3 kilometer).
Beliau turut menjelaskan, pelbagai kemudahan kesihatan telah dinaik taraf di KK Beserah antaranya perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan penyakit tidak berjangkit dan perkhidmatan sokongan seperti radiologi, makmal perubatan dan fisioterapi.
“Adalah diharapkan agar masyarakat di daerah Kuantan dapat menggunakan perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik kesihatan yang disediakan untuk kesejahteraan semua,” katanya. -PAHANGMEDIA

