Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Abdullah Zaki Fadzil
TEMERLOH, 12 NOVEMBER 2024 : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) daripada Kerajaan Negeri Pahang dapat membantu masyarakat untuk menjalankan program yang memberi manfaat kepada kariah setempat.
Menurut Pengerusi Masjid Ubudiah Kampung Batu 1, Encik Mohd Nasir Lani, beliau merasa terharu dan bangga dengan sumbangan yang akan digunakan bagi membangunkan masyarakat ini.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang atas sumbangan yang diberikan kepada masjid ini, dapatlah memberi manfaat kepada kariah-kariah masjid di sini.

“Kami rancang untuk guna kepada kuliah-kuliah, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, serta memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal, dan mereka yang kurang sihat,” katanya.
Sementara itu, menurut Puan Marni Harun dari Kampung Sungai Piol yang mendapat bantuan bagi kategori mualaf, melahirkan rasa kesyukuran dengan BPP yang diterima.
“Saya sangat bersyukur sebab ada rezeki daripada Kerajaan Negeri Pahang dan saya merasa seronok bila dapat tahu ada bantuan macam ini untuk kami.

“Saya bercadang nak guna bantuan ini untuk beli barang keperluan macam barang dapur dan lain-lain keperluan,” katanya yang memeluk Islam sejak 2002.
Sumbangan sebanyak RM1.901 juta disampaikan kepada 2,895 penerima Bantuan Prihatin Pahang 2024 melibatkan masjid, surau kebenaran Jumaat, maahad tahfiz dan pondok, pelajar tahfiz dan pondok, dan mualaf bagi daerah Temerloh dan Jerantut di Dewan Tun Razak.
Turut menyampaikan sumbangan, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, YH. Dato Rezuan Hazimin; dan penyelaras DUN Damak, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah. -PAHANGMEDIA

