Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 NOVEMBER 2024 : Penghulu di seluruh Negeri Pahang diseru agar dapat memahami dan menguasai teknologi baru yang semakin berkembang dalam mendekati masyarakat setempat.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kaedah baru perlu diadaptasi dalam pelaksanaan tugas dan kehidupan seharian bagi mendepani masyarakat dalam menjelaskan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pahang.

“Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang terlalu fokus kepada media sosial di mana pengguna media sosial di kalangan rakyat semakin bertambah, mereka lebih meminati melihat video daripada membaca, jadi tok penghulu pun kena tampil di media sosial khususnya tiktok ini mengikut kaedah-kaedah tertentu dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat setempat.
“Sebab kadang-kadang yang fizikal ini susah kita hendak berjumpa, kita boleh berjumpa mereka di alam maya iaitu di media sosial jadi tok penghulu perlu ada pendekatan tersebut, sebahagiannya ada tetapi sebahagiannya masih belum ada jadi saya ingat itu perlu disahut oleh tok-tok penghulu ini yang kita kata keperluan, teknologi baru, perlu difahami oleh semua penghulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-49/2024 di Hotel Sri Malaysia, Kuantan, hari ini.

Jelasnya, peranan penghulu sebagai sokongan kepada Kerajaan Pahang amat penting dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul terutamanya di mukim jagaan mereka.
Tambahnya, penghulu perlu menyedari tentang perubahan dan cabaran terkini selepas wabak COVID19 melanda beberapa tahun lalu.
“Jadi saya amat berharap para penghulu ini akan terus memainkan peranan penting mereka kepada seluruh anggota masyarakat dan menyedari cabaran-cabaran terkini yang terpaksa mereka hadapi dan perlu sangat satu hubungan yang erat dan kukuh antara Kerajaan Negeri Pahang dan juga penghulu-penghulu dari seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Dalam ucapannya, YB Tuan Fadzli turut menekankan aspek utama dalam perubahan dan cabaran iaitu penguasaan pemahaman tentang teknologi AI (Artificial Intelligent) yang turut dipandang penting oleh Kerajaan Pahang. -PAHANGMEDIA

