Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 NOVEMBER 2024 : Pengisian keagamaan dalam kalangan penjawat awam perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka memahami bahawa pekerjaan adalah satu ibadah.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ini memandangkan penjawat awam dan golongan yang bekerja sering terbeban dengan tanggungjawab dan amanah di dalam pekerjaan mereka.

“Sebab apa kita perlu ada program seumpama ini, kerana program ini akan memberi sedikit sebanyak ketenangan kepada kita. Kita ini sebagai kakitangan kerajaan memikul tanggungjawab yang begitu banyak, beban, orang ramai, beban jabatan, tugasan yang sentiasa tak putus-putus, bertali arus datang kepada kita semua.
“Tak kiralah kita sebagai apa, sebagai ketua jabatan ke, sebagai pegawai kumpulan B ke kumpulan C ke, masing-masing ada tanggungjawab masing-masing. Jadi tanggungjawab ini kadang-kala kita terasa ada masanya satu beban, ada orang ianya satu keseronokkan, tapi ada orang merasakan itu adalah satu ibadah.
“Jadi bagaimana kita nak meyakinkan diri kita, kerja kita itu satu kebaikan dan juga ibadah. Maka kita kena duduk di dalam majlis seumpama ini untuk meyakinkan apa yang kita buat ini adalah satu benda yang baik yang dituntut oleh agama kita, yang diajar oleh agama kita, yang digariskan oleh Nabi kita junjungan mulia, Rasullullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Ilmiah Al Habib Umar Bin Hamid Al Jailani Bersama Kakitangan Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Blok C, Pejabat Setiausaha Negeri Pahang.
Hadir menyampaikan ceramah, Mantan Mufti As Syafie Mekah, Al Habib Umar Bin Hamid Al Jailani.
Beliau berkata program seumpama ini juga dapat menghilangkan keraguan dalam menghadapi perubahan pekerjaan dan juga kepimpinan.
“Atau kita merasa ragu. Dulu corak kepimpinan negeri kita begini dan pada masa kini lain pula. Bak kata pepatah Melayu oleh kerana adanya bah berlaku, maka pasir pun berubah. Jadi macam manalah kita ini, perubahan demi perubahan, apakah kita duduk di situasi yang betul dan tepat.
“Bagi memberikan keyakinan kita maka kita kena duduk di dalam majlis ilmu. Hanya ilmu sahaja yang akan memandu arah kita kerana ilmu itu tidak dusta. Pengetahuan itu apatah lagi kalau berpandu kepada Quran dan Sunnah, dia adalah satu perkara yang sangat perkasa yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

