Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 07 NOVEMBER 2024 : “Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang amat membantu pelajar pendidikan khas di sekolah kami,” kongsi Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Damak, Encik Elmy.
Menurut Encik Elmy Abdul Malek, sumbangan ini akan digunakan bagi menambah peralatan dan keperluan pelajar ini dalam bidang kulinari di sekolah.

“Duit bantuan ini untuk kegunaan pelajar pendidikan khas di SMK Damak. Saya wakil daripada sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan yang sangat membantu 10 pelajar kami.
“Kami ada bengkel kulinari, buat roti dan banyak lagi. Jadi bantuan ini boleh digunakan untuk mengembangkan lagi bengkel ini dari segi peralatan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang, Encik Muhammad Safwan Shahiruddin, 33, melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas sumbangan yang diterima.

“Saya mendapat bantuan bagi membekalkan t-shirt sempena Kempen Kesihatan Daerah Raub sebanyak RM18,000. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy atas sumbangan yang telah diberikan.
“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat memberi manfaat kepada penduduk Raub khususnya,” katanya daripada Evarado Design, Raub.
Kerajaan Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan kepada 13 penerima berjumlah RM848,175 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Perbandaran Bentong hari ini. -PAHANGMEDIA

