Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 NOVEMBER 2024 : Program Anggun Maju dilancarkan bertujuan membantu golongan usahawan ibu tunggal di negeri ini bagi menyara kehidupan mereka.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, program ini juga dapat membantu menaiktaraf kehidupan keluarga para ibu tunggal terlibat.
“Program Anggun Maju melibatkan usahawan ibu tunggal, program ini dapat membantu dengan memberi sokongan kepada golongan ibu tunggal untuk menyara kehidupan mereka.
“Objektif program ini ialah memperkukuhkan perniagaan sedia ada mereka, meningkatkan keupayaan ibu tunggal menguruskan perniagaan dan kesihatan, serta membantu menaik taraf kehidupan mereka.
“Diharapkan semua yang hadir dapat mempraktikkan ilmu-ilmu yang telah disampaikan dalam ceramah tadi. Semoga selepas ini puan-puan sekalian dapat meningkatkan ekonomi keluarga menerusi perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anggun Maju Tahun 2024 bagi Parlimen Kuantan, Indera Mahkota, dan Paya Besar melibatkan 150 peserta di Hotel Sri Manja.

Sementara itu, menurut salah seorang peserta, Puan Siti Nur Ain Ismail, 33, yang merupakan peniaga makanan di Bukit Kuantan melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang di atas bantuan yang diberikan.
“Terima kasih (bantuan) ini boleh membantu kami berniaga, terima kasih Tok Wan kerana membantu kami. Saya bercadang nak gunakan ilmu dan juga bantuan kewangan ini bagi menguruskan perniagaan makanan secara kecil-kecilan saya yang telah beroperasi sejak 7 tahun lepas.
“Bantuan ini juga banyak membantu saya yang sekarang terpaksa berehat daripada berniaga western food di depan rumah pada waktu malam disebabkan baru sahaja selesai menjalani pembedahan memasukkan besi di kaki yang patah bulan lalu.
“Saya bercadang nak guna wang yang diterima ini bagi menggantikan peralatan yang perlu dan modal membeli barang memandangkan saya kini hanya menjual nasi lemak yang di hantar ke kedai sementara menunggu kaki pulih sepenuhnya,” katanya yang turut mempunyai anak kurang upaya (OKU) lembam. -PAHANGMEDIA

